Wednesday, April 8, 2009

UJIAN DAN CUBAAN ADALAH SEBAHAGIAN NIKMAT DARI ALLAH



Allah sentiasa mengubah keadaan kita dari sedih kepada gembira, dari sihat kepada sakit, dari kaya kepada miskin, dari terang kepada gelap supaya kita mengerti bahawa, kita tidak bebas dari hukum ketentuanNya dan supaya kita selalu ingat bahawa, kita sebenarnya sentiasa berdiri di atas landasan.
Allah SWT menerangkan di dalam al-Quran bahawa di sebalik perkara yang kita benci, terdapat banyak hikmah Ilahi (hanya Dia sahaja yang mengetahui) yang berpunca dari sifat Rahman Allah SWT. Ubat itu pahit tetapi ia adalah penawar. Kita sebagai manusia yang terhad ilmu pengetahuan hanya mampu memikirkan perkara yang sangat terbatas.
Di dalam kehidupan harian, kita sering mendapat perkara-perkara yang kita tidak suka seperti kemalangan, kehilangan, kelaparan dan sebagainya. Perkara itu bagi orang yang beriman adalah suatu rahmat. Sepertimana firman Allah S.W.T.:

Maksudnya : “Dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. mereka Itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka Itulah orang-orang yang bertakwa”.
(Surah Al-Baqarah 2 :177)


Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : Tiada seorang Muslim yang menderita kekalahan, kesakitan, kesulitan, dukcita, kesukaran atau kesusahan, bahkan gangguan berupa duri, melainkan dengan kejadian itu Allah akan menghapuskan dosanya.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Setiap perkara yang dijadikan Allah SWT itu ada baik dan buruknya. Dengan rahmat Allah SWT, diajarnya kita bagaimana untuk berurusan dengan kejadianNya itu supaya kita dapat mengambil manfaat daripadanya dan menolak yang tidak baik samada kita sedari atau tidak. Seseorang mukmin sememangnya sangat sangat berhajat kepada rahmat Allah swt.

No comments:

Post a Comment